
Apakah CCRIS?
- Singkatan untuk Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.
- Dimiliki dan dikendalikan oleh BNM untuk memudahkan pengurusan risiko kredit di antara bank.
- CCRIS memproses data yang diterima daripada institusi kewangan peserta dan menggabungkannya menjadi laporan kredit.
- Laporan ini akan disediakan kepada institusi kewangan, peminjam (atas permintaan) dan agensi pelaporan kredit yang diluluskan (dengan persetujuan peminjam).
- Peminjam boleh mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian menerusi eCCRIS tanpa bayaran.
Siapa yang boleh mengakses Laporan CCRIS?
- Mana-mana peminjam individu atau syarikat untuk laporan kredit sendiri;
- Mana-mana peminjam individu untuk laporan kredit perniagaan sendiri, iaitu milikan tunggal, perkongsian atau badan profesional;
- Institusi kewangan, untuk sebarang permohonan kredit dan semasa menyemak kelayakan kredit pelanggan sedia ada; dan
- Agensi Pelaporan Kredit yang diluluskan oleh BNM dengan kebenaran daripada peminjam.
Selain itu, Laporan CCRIS juga boleh dipohon bagi pihak:
- syarikat, badan perniagaan atau profesional, oleh individu yang diberi kuasa oleh entiti;
- peminjam yang telah meninggal dunia, oleh individu yang dilantik oleh Mahkamah.


Dari manakah saya boleh mendapatkan Laporan CCRIS?
Portal eCCRIS oleh pengguna berdaftar
Jika anda warganegara Malaysia yang mempunyai akaun perbankan dalam talian dan BELUM mendaftar sebagai pengguna eCCRIS, sila ke mana-mana Pejabat AKPK seluruh negara untuk mendaftar di kios CCRIS.
Kiosk CCRIS yang terdapat di premis Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara.
Sila layari laman web dan media sosial AKPK untuk maklumat lokasi dan waktu operasi.
Agensi Pelaporan Kredit yang diluluskan:
- Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd
- CTOS Data Systems Sdn Bhd
- Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd
Agensi Pelaporan Kredit mungkin mengenakan bayaran untuk khidmat mereka.
Cara mendaftar untuk mengakses eCCRIS secara dalam talian
Maklumat pendaftaran ini terpakai untuk pengguna baharu individu warganegara Malaysia dengan MyKad dan kemudahan perbankan internet. Untuk pengguna lain, cara sedia ada masih terpakai, iaitu, pendaftaran menggunakan kiosk di premis AKPK, atau secara dalam talian di BNMLINK.

Salah faham biasa berkaitan CCRIS
CCRIS ialah sistem yang menyenarai hitam peminjam.
Fakta: CCRIS hanya menyimpan butiran pembiayaan dan sejarah pembayaran balik peminjam. Ia BUKAN senarai nama peminjam dengan sejarah pembayaran balik yang lemah.
CCRIS, CTOS, Credit Bureau Malaysia, Experian, semuanya sama sahaja.
Fakta: CCRIS dimiliki dan diurus oleh BNM. CTOS/Credit Bureau Malaysia/Experian adalah agensi pelapor kredit swasta yang berdaftar dan dikawalselia oleh Kementerian Kewangan di bawah Akta Agensi Pelapor Kredit 2010. Ketiga-tiga agensi pelapor kredit ini diluluskan oleh BNM untuk mengakses CCRIS ke arah menyediakan laporan kredit untuk pelanggan mereka, yang mungkin mempunyai lebih maklumat daripada CCRIS.
CCRIS mempunyai maklumat lengkap tentang semua peminjam.
Fakta: CCRIS hanya merangkumi maklumat pembiayaan dan peminjam tertentu daripada institusi kewangan peserta. Institusi kewangan dan agensi pelapor kredit boleh mengumpul lebih banyak maklumat tentang peminjam daripada sumber selain CCRIS.
CCRIS merekod semua pinjaman/pembiayaan/hutang.
Fakta: Hanya pinjaman/pembiayaan daripada institusi kewangan peserta dimasukkan dalam CCRIS. Ini termasuk semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM. Namun terdapat institusi kredit yang tidak menyertai CCRIS.
Sesiapa sahaja boleh mengakses Laporan CCRIS saya.
Fakta: Laporan CCRIS adalah sulit. Hanya institusi kewangan peserta dan agensi pelapor kredit (dengan izin anda) yang diluluskan BNM sahaja boleh mengakses CCRIS. Penggunaan CCRIS dikawal ketat, dan penalti akan dikenakan untuk akses tanpa kebenaran, penyelewengan, atau penyalahgunaan maklumat.
CCRIS masih menunjukkan rekod bayaran lewat saya walapun ia sudah diselesaikan.
Fakta: Jika anda sudah membetulkan bayaran balik pinjaman yang terlewat, fakta ini akan dipaparkan dalam rekod bulan berikutnya. Namun, kelewatan bayaran balik yang lama masih akan dipaparkan kerana Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembayaran 12 bulan yang lalu.
Laporan CCRIS ketinggalan zaman.
Fakta: Institusi kewangan peserta bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kredit yang tepat dan terkini mengenai peminjam kepada BNM. Pengemaskinian sejarah kredit peminjam hanya boleh dibuat oleh institusi kewangan terbabit, dan akan dicerminkan dalam CCRIS pada hari ke-10 bulan berikutnya, tertakluk kepada cuti umum.

Institusi Kewangan Peserta dalam CCRIS
- Affin Bank Berhad / Affin Islamic Bank Berhad
- Al Rajhi Banking and Investment Corporation (Malaysia) Berhad
- Alliance Bank Malaysia Berhad / Alliance Islamic Bank Berhad
- AmBank (M) Berhad / Ambank Islamic Berhad
- Bangkok Bank Berhad
- Bank of America Malaysia Berhad
- Bank of China (Malaysia) Berhad
- Bank Islam Malaysia Berhad
- Bank Muamalat Malaysia Berhad
- BNP Paribas Malaysia Bhd.
- China Construction Bank (Malaysia) Berhad
- CIMB Bank Berhad / CIMB Islamic Bank Berhad
- Citibank Berhad
- Deutsche Bank (Malaysia) Berhad
- Hong Leong Bank Berhad / Hong Leong Islamic Bank Berhad
- HSBC Bank Malaysia Berhad / HSBC Amanah Malaysia Berhad
- India International Bank (Malaysia) Berhad
- Industrial and Commercial Bank of China (M) Berhad
- J.P. Morgan Chase Bank Berhad
- Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
- Malayan Banking Berhad / Maybank Islamic Berhad
- MBSB Bank Berhad
- Mizuho Corporate Bank (Malaysia) Berhad
- MUFG Bank (Malaysia) Berhad
- OCBC Bank (Malaysia) Berhad / OCBC Al-Amin Bank Berhad
- Public Bank Berhad / Public Islamic Bank Berhad
- RHB Bank Berhad / RHB Islamic Bank Berhad
- Standard Chartered Bank Malaysia Berhad / Standard Chartered Saadiq Berhad
- Sumitomo Mitsui Banking Corporation
- The Bank of Nova Scotia Berhad
- United Overseas Bank (Malaysia) Berhad
- Affin Hwang Investment Bank Berhad
- Alliance Investment Bank Berhad
- AmInvestment Bank Berhad
- CIMB Investment Bank Berhad
- Hong Leong Investment Bank Berhad
- KAF Investment Bank Berhad
- Kenanga Investment Bank Berhad
- Maybank Investment Bank Berhad
- MIDF Amanah Investment Bank Berhad
- Public Investment Bank Berhad
- RHB Investment Bank Berhad
- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
- Bank Pembangunan Malaysia Berhad
- Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank
- Bank Simpanan Nasional
- Borneo Development Corporation (Sabah) Berhad
- Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad
- Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank)
- Malaysian Industrial Development Finance Berhad
- Sabah Development Bank Berhad
- Danajamin Nasional Berhad
- AEON Credit Service (M) Sdn Bhd
- Diners Club (Malaysia) Sdn Bhd
- Prokhas Sdn Bhd
- BMW Credit (Malaysia) Sdn Bhd
- TC Capital Resources Sdn Bhd
- Toyota Capital Malaysia Sdn Bhd
- Malaysia Building Society Berhad
- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Agensi Pelaporan Kredit yang mendapat akses ke CCRIS
Tertakluk kepada kelulusan BNM, agensi pelaporan kredit (CRA) yang didaftarkan di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 boleh mengakses maklumat kredit peminjam dalam CCRIS dengan syarat mendapat kebenaran daripada peminjam.
Sehingga kini, tiga CRA telah mendapat kelulusan iaitu:
- Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd;
- CTOS Data Systems Sdn Bhd; dan
- Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd
Institusi kewangan peserta yang menjadi pelanggan kepada agensi pelaporan kredit boleh mendapatkan laporan kredit pemohon atau peminjam daripada CRA bagi memudahkan penilaian pemberian pinjaman.