Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Penjenamaan Semula Malaysian Insurance Institute
Auditorium Menara AFFIN | 18 September 2024
Saya berbesar hati berada di sini pada hari ini untuk menyaksikan penjenamaan semula Malaysian Insurance Institute kepada Asian Institute of Insurance (AII). Saya berbangga menjadi sebahagian daripada majlis bersejarah ini memandangkan saya pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah AII.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1968, hampir 10,000 ahli profesional insurans dan takaful telah memperoleh manfaat daripada latihan dan kelayakan anjuran AII yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Prestasi luar biasa ini menekankan peranan penting AII dalam pembangunan dan pemodenan sektor insurans dan takaful bukan sahaja di Malaysia, bahkan di rantau ini.
Sebagai permulaan, saya ingin sorot secara ringkas tentang prestasi sektor insurans dan takaful. Berbanding dengan tahun lepas, premium perniagaan baharu dalam industri insurans hayat dan insurans am mencatatkan pertumbuhan dua angka pada separuh pertama tahun 2024 kepada lebih RM20 bilion. Industri takaful keluarga dan takaful am turut menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dengan mencatatkan jumlah sumbangan melebihi RM7 bilion.
Ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 5.9% pada suku kedua tahun 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang pulih. Pentingnya, prospek jangka panjang Malaysia juga cerah berikutan pemulihan kukuh pelaburan yang boleh dikatakan sebagai ¡°peningkatan kitaran pelaburan¡± yang baharu. Daripada sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) sehingga projek infrastruktur serta tenaga boleh diperbaharui, terdapat prospek yang jelas untuk pelaburan swasta dan awam yang mampan pada masa hadapan. Projek-projek berkualiti ini akan menyumbang ke arah produktiviti yang lebih tinggi, ekonomi yang lebih kompleks dan akhirnya pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, bagi merealisasikan potensi ekonomi Malaysia sepenuhnya, penting untuk kita terus berdaya tahan terhadap kejutan dan gangguan serta terus meletakkan pengurusan risiko sebagai agenda utama negara. Di sinilah perlindungan insurans dan takaful boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kestabilan dan daya tahan ekonomi negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sektor insurans dan takaful Malaysia kini berada pada tahap yang penting. Kita dapat lihat trend dan pertumbuhan yang semakin berkembang dan kita juga merupakan sebahagian daripada rantau Asia yang dinamik serta mempunyai prospek dan peluang yang kukuh. Perkembangan ini ketara membentuk ciri risiko baharu yang sedang dihadapi oleh perniagaan dan pengguna pada hari ini, lantas membuka peluang dan menimbulkan cabaran dalam sektor ini. Hari ini, saya ingin membincangkan tentang semua perkembangan penting yang mempengaruhi sektor ini dan berkongsi beberapa perspektif dalam mendepani trend ini.
Pertama, risiko global yang semakin kerap dan serius yang mencabar model risiko tradisional. Hal ini termasuk perubahan iklim dan ancaman siber. Memandangkan ancaman yang baru muncul ini bersifat dinamik dan sering tidak dapat dijangka serta potensinya untuk mengakibatkan kesan yang meluas, model risiko konvensional yang bergantung pada data sejarah dan pola sedia ada untuk membuat jangkaan dan mengambil kira risiko semasa menentukan harga mungkin sukar untuk menangani isu ini.
Lazimnya, semakin rumit sesuatu risiko, semakin sukar risiko tersebut dimodelkan dan diramalkan. Hal ini seterusnya menimbulkan cabaran untuk menilai dan menaja jamin (underwrite) risiko tersebut dengan berkesan. Kesannya, pemilik risiko mungkin perlu membayar premium yang lebih tinggi, melalui proses pengunderaitan (underwriting) yang lebih ketat atau mendapat perlindungan insurans yang kurang daripada yang sepatutnya. Hal sebegini akan meninggalkan kesan yang nyata terhadap golongan mudah terjejas, seperti individu berpendapatan rendah dan perniagaan kecil terutamanya dalam ekonomi sedang pesat membangun, yang akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan atau mengakses perlindungan yang sewajarnya bagi menangani risiko berkaitan iklim seperti banjir dan bencana alam.
Kedua, kemajuan teknologi dan perubahan jangkaan pelanggan yang menuntut penyesuaian dan evolusi dalam sektor insurans. Realitinya, cara kita menjalani kehidupan, bekerja dan berhibur sedang berubah melalui kewujudan kecerdasan buatan, data raya dan robotik.
Memandangkan pelanggan semakin terbiasa dengan tahap tindak balas dan kemudahan yang terhasil melalui teknologi dalam banyak aspek kehidupan, sektor insurans turut menerima tempias daripada jangkaan sedemikian. Penanggung insurans kini perlu menawarkan pengalaman yang lancar untuk pengguna, yang disesuaikan mengikut keperluan khusus bagi pelbagai jenis perlindungan. Satu inovasi yang mencetuskan inspirasi dalam ruang lingkup ini ialah insurans parametrik. Melalui pelupusan kebanyakan dokumen berasaskan kertas dan proses manual berkaitan dengan tuntutan insurans tradisional, insurans parametrik dapat mempercepat bayaran pampasan (payout) dan tempoh penyelesaian. Dengan memanfaatkan ketersediaan data yang semakin meningkat, kepantasan dan kecekapan sebegini boleh memberikan kesan penting terhadap mata pencarian ketika bantuan segera amat diperlukan seperti semasa kejadian bencana alam.
Ketiga, kadar penuaan yang pesat dalam kalangan penduduk negara kita. Menjelang tahun 2044, 14% daripada penduduk Malaysia dijangka berusia 65 tahun ke atas, menjadikan kita ¡°masyarakat tua¡±. Fenomena yang dikenali sebagai ¡°kebanjiran warga emas¡± ini akan menyaksikan penduduk golongan bekerja yang semakin kurang akan menanggung penduduk golongan warga emas yang semakin banyak. Segmen penduduk ini lazimnya kurang mendapat perkhidmatan kewangan (underserved) dan memerlukan keperluan khusus seperti penjagaan kesihatan, penjagaan jangka panjang dan keselamatan kewangan. Namun demikian, kebanyakan mereka mempunyai akses yang terhad kepada insurans kerana kurang kesedaran, kepercayaan atau kemampuan.
Memandangkan acara hari ini bertujuan untuk meraikan penjenamaan semula AII dan mempertingkatkan status latihan dan kelayakan insurans kepada tahap yang lebih terkemuka di rantau Asia, wajarlah untuk saya berkongsi tentang perkembangan di rantau ini sebagai isi perbincangan saya yang keempat.
Kita sedang menyaksikan pasaran insurans yang semakin saling berhubung susulan penyepaduan serantau yang semakin erat. Dengan lebih 650 juta penduduk di ASEAN sahaja, sektor insurans dan takaful memperoleh manfaat daripada peluang yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk meluaskan jangkauan dan mempelbagaikan produk mereka bagi memenuhi keperluan perlindungan yang pelbagai dalam rantau ini. Tambahan lagi, industri ini juga boleh memanfaatkan kumpulan pakar yang lebih luas dan pada masa yang sama memanfaatkan sumber modal yang lebih besar. Hal ini seterusnya meningkatkan keupayaan untuk membangunkan produk berinovatif dan memenuhi keperluan perlindungan yang lebih luas.
Hadirin hadirat sekalian,
Tidak dapat dinafikan bahawa realiti semakin mencabar pada masa hadapan. Namun saya yakin bahawa industri ini berada pada kedudukan yang baik untuk menangani peluang dan cabaran ini. Tidak syak lagi, pengalaman industri dalam beberapa tahun kebelakangan untuk mendorong pembaharuan dalam bidang perlindungan perubatan dan perlindungan motor sememangnya memberangsangkan. Meskipun kita telah mencapai kemajuan yang besar ke arah memastikan perlindungan yang berterusan dan memupuk inovasi, masih banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan untuk kita.
Penanggung insurans dan pengendali takaful perlu memperluas keupayaan dan ketersediaan masing-masing untuk mengecilkan jurang perlindungan yang sangat penting dan mengukuhkan lagi jaringan keselamatan kewangan. Hal ini bermakna adanya keperluan untuk membuat penyesuaian dan inovasi dalam beberapa bidang.
Kita tidak boleh mengabaikan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam kesemua bidang ini. Sinergi yang diwujudkan daripada perkongsian seperti ini dapat memperkukuh sumbangan penanggung insurans dan pengendali takaful. Sinergi ini boleh berbentuk pembangunan penyelesaian pemindahan risiko yang canggih untuk menguruskan risiko berskala besar dan risiko baharu yang melebihi keupayaan sesebuah institusi.
Bank Negara Malaysia (BNM) giat menetapkan asas untuk mewujudkan landskap perlindungan yang berdaya saing, cekap dan inklusif. Hal ini termasuk mendorong inisiatif bermakna untuk memodenkan rangka kerja pengawalseliaan sedia ada, lantas menjadikannya lebih berteraskan prinsip di samping membuka jalan bagi penanggung insurans dan pengendali takaful untuk membuat inovasi dan menguji penyelesaian baharu. Berpandukan prinsip kesamaan (parity), perkadaran dan berkecuali, kami memperbaharui Sandbox Pengawalseliaan BNM dan memperkenalkan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital. Langkah ini dirangka khusus untuk membantu industri menghasilkan tawaran nilai yang kukuh dan bermakna dalam usaha menyokong matlamat rangkuman, daya saing dan kecekapan.
Bagi melengkapkan usaha ini, kami terus memperkukuh rangka kerja pengawalan BNM untuk memartabatkan amalan kewangan dan perniagaan yang mantap. Hal ini termasuk menambah baik Dokumen Dasar berkenaan Pemetaan Tanggungjawab dan meningkatkan standard Profesionalisme Ejen Insurans dan Takaful. Saya yakin bahawa dasar-dasar ini bukan sahaja penting untuk memantapkan pengawasan dan tadbir urus penanggung insurans dan pengendali takaful, malah untuk meraih keyakinan orang ramai terhadap integriti tenaga kerja agensi sebagai saluran yang dipercayai dan diyakini untuk pengedaran produk insurans dan takaful. Bagi kebanyakan orang, pengalaman pertama mereka berhubung dengan insurans dan takaful adalah melalui pertemuan bersama ejen. Sehubungan dengan itu, ejen perlu kompeten, berkelayakan dan bertindak secara profesional demi kepentingan terbaik pelanggan pada setiap masa.
Selain itu, kami berusaha supaya penyelesaian perlindungan yang kritikal dapat diakses secara lebih mudah dan bersasar. Sebagai salah satu negara yang mempunyai kos rawatan perubatan swasta yang tertinggi di Asia Tenggara, keutamaan penting kami di BNM adalah untuk meningkatkan akses kepada perlindungan insurans dan takaful yang mampu milik. Hal ini dicapai melalui Dokumen Dasar berkenaan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan yang disemak serta mikroinsurans dan mikrotakaful Perlindungan Tenang. Kesemua usaha ini dilaksanakan seiring dengan pembaharuan lebih meluas yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan di Malaysia, termasuk pembiayaan penjagaan kesihatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sambil kita mempergiat usaha untuk memajukan sektor insurans dan takaful, komponen utamanya ialah profesionalisme yang menyeluruh dan holistik iaitu tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, justeru komited sepenuhnya dan tidak berkompromi terhadap standard etika dan kecemerlangan profesional. Hal ini memastikan usaha industri dapat mewujudkan keyakinan dan kerjasama, dengan kepercayaan sepenuhnya daripada pelanggan, sekali gus membuka jalan untuk pertumbuhan yang mampan.
Rangka Kerja Kemahiran Masa Hadapan Sektor Kewangan (Financial Sector Future Skills Framework, FSF) yang dilancarkan baru-baru ini merupakan suatu langkah yang wajar sebagai rujukan utama bagi hala tuju kemahiran dan kerjaya masa hadapan. Industri kini boleh memanfaatkan FSF untuk membuat jangkaan keperluan latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi semua peringkat kakitangan dengan lebih baik, termasuk ejen dan pemimpin agensi. Melalui usaha ini, kita memperkasakan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan peranan yang terus berkembang.
Saya ingin memuji kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh AII. Kepimpinan ini sentiasa proaktif untuk menyelaraskan modulnya dengan rangka kerja FSF. Kami menghargai komitmen berterusan dalam usaha memperteguh dan membentuk industri insurans untuk masa hadapan dengan memupuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan. Harapan kami ialah program anjuran AII dapat terus memenuhi standard tertinggi integriti, profesionalisme dan etika dengan konsisten bagi memperkukuh dedikasi kita secara kolektif bagi mencapai kecemerlangan. Pada masa yang sama, kami menggalakkan industri untuk memberikan sokongan padu dengan memanfaatkan latihan yang ditawarkan oleh AII untuk memperkukuh tahap profesionalisme dan keyakinan terhadap sektor insurans dan takaful.
Saya yakin bahawa suatu masa nanti, AII akan mencapai matlamat penubuhannya melalui penawaran program latihan dan kelayakan yang diterima secara meluas dan diiktiraf di seluruh rantau Asia.
Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
Akhir kata, saya ingin melihat agar sektor insurans dan takaful terus relevan, berkembang maju dan memainkan peranan penting dengan memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara dengan lebih meluas pada tahun-tahun mendatang. Visi ini tidak akan dapat dicapai sekiranya kita bekerja sendirian kerana hal ini memerlukan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach). Saya juga ingin menegaskan sekali lagi komitmen teguh BNM untuk memacu pembaharuan penting dalam sektor ini. Melalui kerjasama, kita mampu menjadikan aspirasi landskap perlindungan yang lebih berdaya saing, cekap dan inklusif sebagai suatu realiti.
Sekali lagi, saya berbesar hati untuk terus menyaksikan AII memacu sektor insurans dan takaful untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Terima kasih.