Malaysia Menyeru Pembaharuan Berasaskan Nilai-Nilai bagi Memperkukuh Daya Tahan Ekonomi Global pada?Forum Global Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam
Embargo :28 Mei 2024
Global Forum on Islamic Economics and Finance (GFIEF), yang dirasmikan oleh Perdana Menteri YAB Dato¡¯ Seri Anwar Ibrahim hari ini, menghimpunkan lebih 2,300 penggubal dasar serta peneraju dan pengamal industri daripada 75 negara di Kuala Lumpur. Bertemakan ¡®Shaping a Resilient Global Islamic Economy Through Values-based Reforms¡¯, matlamat forum dua hari ini adalah untuk memanfaatkan kuasa transformasi ekonomi dan kewangan Islam bagi memupuk kesejahteraan dan kesaksamaan secara bersama. GFIEF mendorong perbincangan dasar yang mendalam dan mengetengahkan penyelesaian berinovatif yang berasaskan prinsip-prinsip ekonomi dan kewangan Islam bagi menghadapi cabaran global.
Di bawah naungan Kementerian Kewangan Malaysia (Ministry of Finance Malaysia, MOF), GFIEF dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority, LFSA), International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), Islamic Development Bank (IsDB), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group, WB).
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menekankan potensi forum sebagai pemangkin kepada penyelesaian inovatif dan tindakan secara bersama. Beliau berkata, ¡°Nilai-nilai asas ekonomi dan kewangan Islam menawarkan langkah selanjutnya untuk mengkaji dan mempertimbangkan semula pendekatan kita dalam menangani cabaran ekonomi global.¡±
GFIEF mengetengahkan inisiatif rintis oleh Malaysia, termasuk:
Pelancaran Kertas Cadangan (Position Paper) MIFC[1] Leadership Council (MLC) yang bertajuk ¡®Establishing Islah (reform) through Islamic Finance¡¯. Kertas ini mengandungi tindakan dan peralihan bersama oleh industri bagi memupuk perubahan masyarakat yang positif melalui kewangan Islam. Kertas ini menggariskan 18 Projek Berimpak MLC yang memberikan tumpuan pada inisiatif yang mencipta impak bagi memupuk rangkuman, kemampanan, amalan beretika dan usaha untuk memajukan agenda MIFC dalam usaha membangunkan jalinan kewangan Islam yang lebih kukuh dengan pasaran global.
Pertukaran Memorandum Kerjasama (Memorandum of Collaboration, MOC) antara MLC dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Hong Kong, Republik Tš¹rkiye dan United Kingdom. Kesemua MOC ini memberikan penekanan pada inovasi produk kewangan Islam, menggalakkan perdagangan dan aktiviti kewangan rentas sempadan serta menggalakkan pembinaan keupayaan dan pendidikan.
Terbitan struktur sukuk baharu di bawah program Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) yang menggunakan struktur wakalah bi al-khadamat[2]. Instrumen kewangan berinovasi ini, yang dijadualkan untuk diterbitkan menjelang tahun 2025, direka untuk memperlengkap opsyen sukuk sedia ada lantas mengukuhkan daya tahan dan fleksibiliti sistem kewangan Malaysia.
Pembangunan program global bagi ahli ekonomi Islam, yang diterajui oleh Malaysia. Program ini bertujuan untuk membentuk sekumpulan ahli ekonomi yang dinamik dan berkemahiran tinggi serta mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang tepat dalam ekonomi Islam bagi menjana penyelesaian yang dapat menangani cabaran global pada masa ini.
Program rintis tentang Penghijauan Perniagaan Halal (Greening Halal Business, GHB) dengan kerjasama MOF, IsDB dan Hab WB di Malaysia serta rakan pelaksana terpilih. GHB bertujuan untuk membantu perniagaan halal di Malaysia beralih ke arah amalan yang lebih lestari.
GFIEF menjadi tuan rumah kepada beberapa perbincangan dengan pemimpin antarabangsa, sesi panel dan sembang santai (fireside chat). Perbincangan dan interaksi ini tertumpu pada tindakan dan penyelesaian dasar yang sangat penting bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi dan merungkai potensi sebenar ekonomi dan kewangan Islam. Selain itu, sebanyak 17 acara sampingan turut dianjurkan oleh pelbagai organisasi sepanjang minggu bagi menyokong bidang-bidang penting termasuk daya tahan iklim, kestabilan kewangan, pelaporan kelestarian dan kewangan sosial. Lebih 50 pempamer daripada organisasi antarabangsa, pengawal selia, kementerian, wakil industri perkhidmatan kewangan, persatuan industri, syarikat fintech, syarikat korporat, organisasi tidak berasaskan keuntungan dan PKS telah menyertai acara ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai GFIEF, sila layari kl.gfief.com.my.
Bank Negara Malaysia
28 Mei 2024
[1] Malaysia International Islamic Finance Centre.
[2] Wakalah bi al-khadamat ialah kontrak agensi untuk perkhidmatan yang merujuk pengaturan pelabur melantik ejen untuk memberikan perkhidmatan seperti mengutip pulangan pelaburan, menguruskan aset yang disewa dan sebagainya. Ejen ini tidak akan terlibat dengan strategi dan keputusan pelaburan.
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.