Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Simposium Kewangan Islam Fitch Ratings 2024
6 Mac 2024
Saya sangat berbesar hati dapat menyertai Simposium ini, dan terima kasih kepada Fitch Ratings atas undangan. Simposium ini menyediakan wacana yang baik untuk kita meneruskan perbincangan penting tentang prospek pertumbuhan kewangan Islam dalam ruang lingkup persekitaran semasa kewangan global yang mencabar.
Prospek pertumbuhan bagi sistem kewangan Islam global
Aset kewangan Islam global dianggarkan telah mencapai USD4.5 trilion pada tahun 2022 dan dijangka mencecah USD6.7 trilion pada tahun 2027.[1] Industri ini telah berkembang lebih daripada sekali ganda (more than two-folds) berbanding dengan sedekad yang lalu. Hampir 60 buah negara kini mempunyai peraturan kewangan Islam,[2] dengan beberapa pasaran baharu di Asia dan Afrika sedang menerokai peluang memperkenalkan perkhidmatan kewangan Islam.
Pengembangan ekonomi Islam global terus mempunyai prospek yang cerah. Tambahan lagi, nilai intrinsik Syariah yang menggalakkan pengagihan kekayaan yang seimbang dan nilai ihsan (berbuat baik dan menjalankan kewajipan dengan sebaik mungkin) adalah penting untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif. Permintaan yang kukuh terhadap industri halal dan kewangan didorong impak, menawarkan peluang yang signifikan bagi industri ini untuk memainkan peranan yang lebih besar sebagai pengantara pelaburan merentas pasaran. Usaha memperdalam pembangunan pasaran kewangan Islam akan menjadi komponen penting bagi aspirasi ini. Terdapat tiga keutamaan penting yang akan merungkai peranan kewangan Islam yang lebih jitu dalam menyokong pengantaraan kewangan global:
Pertama, memperkukuh kerancakan dan kedalaman pasaran kewangan Islam. Hal ini termasuk memastikan pemahaman peraturan yang lebih jelas, kesepaduan dalam industri, serta menyediakan instrumen yang pelbagai;
Kedua, menyokong penyelarasan sistem secara menyeluruh terhadap pengantaraan kewangan berasaskan nilai dan prinsip universal Syariah dalam ruang lingkup kelestarian bagi semua sektor. Hal ini perlulah disokong oleh penzahiran impak yang boleh diukur secara jelas; dan
Ketiga, mewujudkan inovasi yang berimpak melalui struktur kontrak Syariah yang pelbagai termasuk pelaksanaan kewangan campuran, dan disokong oleh ekosistem yang kondusif dan rangkaian kepakaran.
Kewangan Islam sebagai nadi penggerak dalam membentuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan
Semua keutamaan ini juga sangat selaras dengan Pelan Sektor Kewangan Malaysia.
Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia pada peringkat global sebagai gerbang kewangan Islam, usaha sedang diperhebat untuk menggiatkan kerancakan pasaran kewangan Islam melalui kepelbagaian instrumen dan kejelasan peraturan. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian dan jumlah aset pelaburan yang patuh Syariah termasuklah kepada pelabur antarabangsa. Dalam tempoh setengah dekad yang lalu, pasaran sukuk Malaysia telah berkembang sebanyak kira-kira USD70 bilion (RM332.3 bilion) atau 35% untuk menghasilkan jumlah terkumpul sebanyak USD267.5 bilion (RM1.27 trilion). Pelaburan keseluruhan daripada penyertaan pelabur asing dalam pasaran sukuk Malaysia kini berjumlah USD12.6 bilion (RM59.6 bilion).[3] Berlandaskan perkembangan ini, Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (Islamic Financial Market Subcommittee, IFMC) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia juga telah diberi tanggungjawab untuk mengkaji strategi bagi meningkatkan penyertaan pelabur asing dalam terbitan sukuk domestik. Kami mengalu-alukan penyertaan yang semakin meningkat dari seluruh dunia pada masa akan datang. Salah satu kemajuan penting IFMC adalah dalam bidang lindung nilai (hedging). Seterusnya, keputusan Majlis Penasihat Shariah telah dikeluarkan berhubung dengan kebolehizinan untuk membuat lindung nilai jangkaan, namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu. Keputusan ini bertujuan untuk memajukan lagi pasaran derivatif Islam bagi memastikan pasaran ini selari dengan prinsip-prinsip Syariah dan amalan pengurusan risiko yang berhemat. Kami juga sedang menjalin kerjasama yang lebih kukuh dengan Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (GCC) dan negara-negara di Asia untuk meningkatkan pembangunan bersama dalam kewangan Islam. Usaha-usaha ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai gerbang kewangan Islam ke pasaran GCC dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pelabur global bakal mendapat manfaat daripada pelaburan di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada prospek ekonomi yang mampan
Seterusnya, saya ingin menyentuh pula tentang prospek pertumbuhan Malaysia secara umum serta peluang pelaburan yang wujud dalam bidang kelestarian.
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan sektor luaran yang bertambah baik. Ekonomi global yang bertambah baik berserta dengan peningkatan kitaran teknologi akan memberi manfaat kepada eksport Malaysia, terutamanya memandangkan Malaysia merupakan peserta dominan dalam industri semikonduktor global.
Pada tahun 2023 sahaja, sejumlah kira-kira USD70 bilion (RM329 bilion) pelaburan telah diluluskan dengan pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak 57%. Hampir 74% daripada projek yang diluluskan antara tahun 2021 hingga 2023 juga telah dilaksanakan.[4] Pada tahun lepas, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP) telah diperkenalkan, lantas mengukuhkan lagi tumpuan kami terhadap agenda kelestarian dan komitmen kami untuk meningkatkan sektor perkilangan negara. Hal ini akan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh dalam landasan pertumbuhan yang mampan. NETR memperincikan 10 projek dan inisiatif pemangkin utama bagi peralihan sektor tenaga. Berdasarkan skalanya, pelaksanaan kedua-dua pelan ini dianggarkan memerlukan pembiayaan awam dan swasta sebanyak kira-kira USD210 bilion (lebih RM1 trilion) menjelang tahun 2050. Sebahagian daripada pembiayaan ini akan diperoleh melalui penawaran produk kewangan Islam termasuk ESG patuh Syariah dalam pasaran sukuk Malaysia. Pada umumnya, rantau ASEAN mempunyai keperluan pembiayaan yang signifikan bagi agenda kelestarian. Pelabur baharu ke rantau ini boleh memanfaatkan Malaysia sebagai pangkalan untuk memenuhi permintaan pembiayaan di rantau ini, memandangkan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang menyeluruh.
Kelebihan utama Malaysia adalah pada daya tahan sektor luaran. Daya tahan ini disumbangkan oleh lebihan akaun semasa, tahap hutang luar negeri yang boleh diurus, kedudukan aset luaran bersih dan tahap rizab antarabangsa yang mencukupi. Kedudukan ini telah membolehkan Malaysia mengharungi keadaan kewangan global yang tidak menentu daripada kedudukan yang kukuh, dan telah memastikan pasaran kewangan domestik terus kekal teratur.
Kerajaan komited untuk memastikan kemampanan fiskal melalui beberapa inisiatif pembaharuan dasar fiskal. Pembaharuan ini termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (The Public Finance and Fiscal Responsibility Act, FRA) dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (Medium Term Fiscal Framework, MTFF) yang akan menyokong pengurangan defisit fiskal kepada antara -3% hingga -3.5% daripada KDNK menjelang tahun 2025. Langkah ini akan disokong oleh peningkatan hasil dan pengoptimuman perbelanjaan, termasuklah peluasan asas cukai.
Meskipun ringgit Malaysia telah mengalami tekanan sejak tahun 2022, hal ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelarasan kadar dasar yang agresif oleh Federal Reserve AS. Fenomena ini tidak hanya khusus kepada Malaysia namun mencerminkan dinamik pasaran mata wang yang lebih luas. Memandangkan prospek pertumbuhan Malaysia yang positif, paras ringgit semasa berada di bawah nilai saksama (undervalued). Keadaaan ini tidak wajar kerana ringgit juga disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan, yang dibuktikan oleh pemegangan bon kerajaan jangka panjang yang stabil oleh pelabur bukan pemastautin pada sekitar 22%, dan aliran masuk asing baru-baru ini ke dalam pasaran ekuiti domestik.
Kami mempunyai keazaman yang tinggi dalam memastikan nilai ringgit terus stabil. Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia sedang melaksanakan tindakan yang terselaras untuk meningkatkan lagi aliran ke dalam pasaran pertukaran asing secara berterusan. Khususnya, kami telah mempergiat libat urus bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing mereka dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit secara lebih konsisten. Kami juga telah menggiatkan libat urus dengan pelabur asing, seperti hadirin sekalian, untuk mengetengahkan prospek positif Malaysia serta mengapa Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan dan perniagaan yang menarik.
Oleh itu, dengan kedudukan ringgit berada di bawah nilai saksama (undervaluation) serta peluang pelaburan yang sedia ada dan yang akan datang, pelabur global berpeluang untuk meraih manfaat dengan menjadi sebahagian daripada prospek pertumbuhan Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan pasaran lain dan pihak berkepentingan antarabangsa, kerana peralihan kepada ekonomi yang mampan memerlukan tindakan global secara kolektif. Saya yakin Simposium Kewangan Islam ini akan memberi kita pandangan dan prospek pasaran yang tidak ternilai yang pastinya menyumbang kepada peranan dan bidang masing- masing. Pada bulan Mei tahun ini, Malaysia juga akan menganjurkan forum global yang memberikan tumpuan pada cara ekonomi dan kewangan Islam boleh membentuk ekonomi global yang lebih berdaya tahan, lestari dan saksama. Butiran lanjut akan diumumkan kelak dan anda semua dialu-alukan untuk menyertai forum ini. Insya-Allah, wacana intelektual yang berterusan mengenai isu-isu yang berkaitan dan idea-idea yang berpandangan ke hadapan akan membuka jalan untuk penambahbaikan yang berterusan. Dengan ini, saya berharap persidangan pada hari ini akan memberikan manfaat bagi kita semua.
[1] Sumber: ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2023.
[2] Merujuk bilangan negara yang mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis peraturan kewangan Islam. Sumber: ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2023.
[3] Sumber: BNM FAST dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, data setakat akhir bulan Disember 2023.
[4] Sumber: MIDA, bulan Februari 2024.
Bank Negara Malaysia
6 Mac 2024